Wednesday, May 28, 2008

OMBAKAN HATI

Kawan,
Suaraku ini adalah ombakan hati
yang kental dibaluti kesedaran
yang setiap hari ku setia dengan sumpah pahlawan
tentang masa depan
yang punya seribu kemungkinan

Engkau dan aku sama-sama tahu
sama-sama sedar
bahawa kita masih menggelepar
meniti titian licin; bergantung di dahan rapuh
menghadapi seribu kemungkinan

Apabila orang membawa berita
tentang ayam dikepuk mati kebulur
tentang itik diair mati dahaga
berita itu kawan, adalah gendang perang
yang melarang kita undur
Rempuh, rempuhlah terus kejahilan
kemunduran kikislah habis

Hari ini kawan, kita susun kemaskan barisan
kita yakinkan almarhum-almarhum tercinta
(Aminuddin Baki dan Zulkifli Muhammad
Bahawa jejak mereka kita teruskan
dengan hati pahlawan seperti Hang Jebat

Hari ini, kawan..
Pintalah TUHAN lebarkan terbukanya pintu hati kita
biar terjirus air keramat di dalamnya
biar berhembus udara hidayat ke lubuknya
agar hari ini bagi kami oh TUHAN
hari yang penuh rahmat dan ampunan
hari yang penuh petunjuk dan bimbingan
untuk kelanjutan semangat mukaddimah
pertubuhan yang kami junjung
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

SUTAN SHAHRIL LEMBANG -Buat sdraku di GPMS

No comments: